25-10-2007
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon sensasi, Erra Fazira, 33, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32, di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, di sini, malam ini.
Dengan hanya sekali lafaz, Emran yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, sah menjadi suami kepada bintang terkenal itu setelah mereka mengikat tali pertunangan pada 7 September lalu.
Pasangan tersebut telah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Nasroddin Mat Daud di mana Erra diwalikan oleh bapa saudaranya sendiri, Burhanuddin Ridzuan.
Pada majlis tersebut, Emran telah menghadiahkan tujuh dulang hantaran termasuklah mas kahwin sebanyak RM80 berbalas sembilan daripada pihak perempuan.
Antara barangan hantaran oleh pihak lelaki ialah sireh junjung, sebentuk cincin berlian, set barangan kemas, sejadah serta dua naskhah Al-Quran yang diminta sendiri oleh Erra sebagai pengganti wang hantaran.
Manakala antara hantaran oleh pihak perempuan pula ialah cincin, jam tangan, kamera dan baju.
Majlis berlangsung sekitar jam 8.30 malam itu diadakan secara sederhana tetapi meriah dengan kunjungan lebih 500 orang tetamu, terdiri daripada ahli-ahli keluarga, sanak-saudara serta rakan-rakan artis.
Antara rakan artis yang hadir menyerikan majlis ialah dua teman rapat Erra iaitu Umie Aida dan Zahida Rafik serta beberapa artis terkenal tanahair seperti Datuk Aziz Sattar Vanida Imran, Azwan Ali, Nikki, Yanie dan Zul Yahya.
Ini merupakan perkahwinan kedua bekas Ratu Cantik Malaysia itu manakala yang pertama untuk Emran.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003, namun perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Cutenye Erra kat pic ni….
Barang2 hantaran….